Sunday, September 11, 2022

FATIHAH 4

 FATIHAH 4

 

مالِكِ يَوْمِ الدِّينِ (4)

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 3

AYAT 4

 

Dalam pada Allah menguasai alam, Allah tetap menampilkan dirinya sebagai Tuhan yang maha pemurah dan maha penyayang. Walaupun sifat al-Jabbar, al-Mutakabbir DLL wujud juga pada Allah, tetapi yang diangkat oleh Allah adalah الرحمن الرحيم

 

 

 

Manusia kadangkala leka dan alpa. Hanya mengingat sifat pemurah dan penyayang Allah, dibimbangi mereka merasakan tidak bersalah dalam melakukan dosa dan maksiat.

 

Makanya dalam ayat ini, Allah menampilkan kekuasaan-nya di alam akhirat.

 

 

[1] Dalam ayat 2, dijelaskan kekuasaan Allah di dunia. Dalam ayat ini (4) dijelaskan kekuasaan Allah di alam akhirat.

 

[2] Tuhan memberi infrastruktur di dunia kepada manusia agar manusia menyembahNya. Itulah sifat al-Rahman Allah. Tiba-tiba, manusia tidak akur dengan perintahNya, maka memang layak Allah tidak berikan syurga kepada mereka.

 

Manusia perlu sedar, setiap manusia akan hadapi semua ini alam akhirat kelak, iaitu berhadapan dengan kehidupan selepas dari mati.

 

مالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

 

 

[1] apabila Tuhan sebut bahawa alam ini ditadbir oleh Allah, manusia juga perlu sedar bahawa tuhan bukan semata-mata berkuasa di alam ini, bahkan kekuasaan Allah juga di alam kehidupan selepas dari mati.

 

[2] perkataan مالك bermaksud pemilik. Ada yang baca dengan ملك, iaitu raja. Hari akhirat kelak, Allah adalah raja segala raja, pemilik segala pemilik.

 

Bukan sekadar di akhirat, bahkan semasa di dunia pun, penentuan pemilikan itu adalah Allah. Firman Allah;

 

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26) – ال عمران

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

[3] Kata Sya’rawi, konsep alam akhirat adalah MIZAN—pengimbang bagi kehidupan manusia. Orang yang berkuasa, apabila disebut مالك يوم الدين, mereka akan sedar bahawa semasa di dunia mereka tidak ada ruang untuk melakukan kezaliman. (Sya’rawi:1/68)

 

[4] Allah menyebut bahawa alam akhirat sebagai milik Allah. Kenapa disebut begitu? Apakah alam dunia tidak dimiliki oleh Allah?

 

Dalam ayat ke-2, sudah dijelaskan kepemilikan Allah terhadap alam dunia. Namun, dalam ayat ke-2 itu, Allah menyebut pada ayat lanjutannya dengan sifat AL-RAHMAN dan AL-RAHIM.

 

Bermakna, dalam alam dunia, Allah memberi ruangan kepada makhluk di dunia untuk bergerak bebas atas kehendak mereka sendiri.

 

Namun, pada hari akhirat kelak, manusia tidak ada kebebasan lagi dalam bertindak. Bahkan, segala pergerakan mereka terbatas dengan ketetapan Allah. Setiap pergerakan makhluk dalam pemilikan Allah. Firman Allah;

 

يَوْمَ لَا تَمْلِكُ نَفْسٌ لِنَفْسٍ شَيْئًا وَالْأَمْرُ يَوْمَئِذٍ لِلَّهِ (19)- الإنفطار

“Di hari sesuatu diri tidak dapat memiliki diri yang lain walaupun sedikit. Urusan pada hari itu diserahkan kepada Allah”

 

[5] Asal makna يوم adalah hari. Apabila sebut hari, maka ada waktu siang dan malam. Apabila ada konsep siang malam, sudah pasti ada kaitan dengan matahari.

 

Persoalannya, apakah alam akhirat nanti ada konsep siang dan malam? Hal ini kerana, antara kejadian kiamat adalah semua makhluk di alam dunia ini hancur, termasuk matahari.

 

Justeru, perkataan يوم dalam ayat ini merujuk kepada MASA atau WAKTU, bukan pemahaman hari sepertimana di dunia ini. (Shihab:1/44)

 

[6] Kata الدين sering diterjemah sebagai agama, padahal turut diterjemah juga sebagai pembalasan.

 

Hamka menjelaskan bahawa menurut Islam segala gerak-geri hidup manusia tidak lepas dari lingkungan agama, dan tidak lepas dari salah satu hukum yang lima: wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Semua perilaku ini akan diperhitungkan di hadapan Allah di akhirat kelak sebagai pembalasan. (Hamka:1/75)

 

[7] Salah satu maksud adil adalah sesuatu perbuatan mesti ada pembalasan. Kalau kita buat baik akan dibalas balik; kalau kita buat jahat, maka dibalas jahat.

 

Pembalasan ini berlaku dalam pelbagai bentuk; sama ada semasa di dunia, ataupun ketika di akhirat.

 

Allah yang maha Rahman, dia memberi nikmat untuk manusia ada kudrat untuk bergerak secara bebas. Namun, dengan sifat keadilan Allah, ditawarkan balasan baik kepada orang yang berbuat baik atas sifat rahimNya.

 

[8] Konsep alam akhirat dianggap penting untuk memastikan di dunia ini berada dalam keadaan aman. Sudahlah Allah mengurus dan mentadbir alam ini رب العالمين, maka dalam memastikan manusia tidak merosakkan alam yang telah ditadbir oleh Allah, makanya Allah mencipta satu konsep, iaitu kehidupan selepas daripada mati wujudnya pembalasan terhadap apa yang telah dilakukan semasa di dunia.

 

Apabila manusia memikirkan tentang implikasi kehidupan mereka selepas daripada mati, mereka tidak akan menjalani kehidupan mereka di dunia ini sesuka hati. Sebaliknya mereka akan berhati-hati di dalam menjalani kehidupan.

 

Jika semua manusia mengambil pengajaran terhadap konsep ini, sudah pasti keamanan akan tercapai di atas muka bumi.

 

[9] Manusia berhenti dari buat jahat ada beberapa factor:

(a)                 Kerana dia benci kejahatan.

(b)               Kerana dia takut implikasi disebalik kejahatan.

 

Contoh bagi (a) adalah seperti manusia rasa jijik terhadap najis. Justeru, najis itu tidak akan di makan, kerana dia merasa jijik.

 

Contoh bagi (b) pula, seperti orang tidak rasuah di Singapore, kerana dia takut ditangkap dan dikenakan hukuman di sana, kerana undang-undang rasuah di sana amat tegas dan berat.

 

Islam datang dengan dua pendekatan ini. Dengan sebab itu, islam menyeru manusia kepada perkara (a) dengan menanam rasa benci dan jijik terhadap dosa dan maksiat. Pendekatan (b) pula, islam mengajar dari sudut kepercayaan, iaitu azab yang dahsyat di alam selepas mati.

 

Dalam ayat ini, al-Quran memperkenalkan pendekatan (b); iaitu takut dengan balasan alam akhirat selepas mati, andai semasa di dunia melakukan kejahatan.

 

PENGAJARAN

 

[1] Dalam ayat lepas, Allah sebut kekuasaannya yang mentadbir sekelian alam. Mendengar berkenaan kekuasaanNya, kita rasa takut.

 

Lalu, Allah menyebut sifatNya yang Rahman dan Rahim; melahirkan rasa sayang dan kasih kepadanya.

 

Di sini, digabungkan dua perasaan manusia terhadap Allah; iaitu TAKUT (الخوف) dan HARAP (الرجاء). Takut dengan azabNya, harap agar diberikan syurgaNya; takut dengan kemurkaanNya, harap dengan kasih sayangNya.

 

Apabila dalam diri manusia ada dua sifat ini, manusia akan taat perintah Allah. Segala perintah itu akan dibalas di hari pembalasan.

 

Apabila disebut agama, sudah pasti melibatkan halal – haram; pahala dan dosa. Selain agama, hal ini tidak dibicarakan. Dengan sebab itu, Allah namakan hari pembalasan dengan يوم الدين yang asal perkataan الدين bermakna agama.

 

[2] Ayat ini merupakan sumber utama agama yang menyatakan bahawa wujudnya alam akhirat; kehidupan selepas dari mati.

 

 

 

FATIHAH 2-3

 FATIHAH 2 & 3

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (2) الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (3)

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam * Maha pemurah lagi maha penyayang

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ

 

[1] Ini adalah ungkapan pujian. Apabila Allah mempunyai sifat kesempurnaan, maka memang layak bagi Allah untuk mendapat pujian.

 

Kata al-Sya’rawi, Allah terpuji pada semua sudut; dari sudut zat, sifat, Qadha’ dan semuanya. (al-Sya’rawi:1/55(

 

Menurut Shihab pula, memuji datang hasil dari dalam hati ada perasaan sayang. Manusia akan memuji Allah dengan sebenar-benarnya, jika di dalam hatinya ada perasaan sayang kepada Allah. (Shihab:1/27)

 

[2] Manusia memuji dengan pelbagai sebab. Ada yang memuji kerana mahu mendapatkan keuntungan, seperti seorang yang mahu projek dari Perdana Menteri, dia akan memuji Perdana menteri, bukan kerana sayang kepada Perdana menteri itu, tetapi dia memuji kerana projek punya mudah diluluskan oleh Perdana menteri.

 

Ada pula yang memuji, kerana mahu mengelak diri dari mendapat kerugian. Seperti seseorang yang takut disaman oleh polis, dia memuji polis tersebut agar polis itu tidak menyamannya.

 

Semua bentuk bentuk ujian ini adalah tidak ikhlas. Pujian yang ikhlas adalah datang dari rasa keindahan di dalam hati terhadap sang yang dipuji.

 

Seorang suami yang merasai keindahan isterinya di dalam hati, dia akan sayang akan isterinya. Keindahan itu akan diluahkan dalam bentuk perkataan--ia dinamakan sebagai puji.

 

Maka demikianlah orang yang merasai keindahan Allah, yang keindahan itu telah masuk ke dalam hatinya.

 

[3] Walaupun kadang-kadang manusia melakukan kebaikan kepada kita, lalu kita mahu memberi pujian kepadanya. Namun, jika kita fikir lebih mendalam, pujian yang kita berikan kepadanya itu, hakikatnya adalah lebih layak diberikan pujian kepada Allah. Hal ini kerana, tanpa kekuasaan yang Allah berikan kepadanya untuk membuat kebaikan, pasti dia tidak akan mampu berbuat kebaikan tersebut. (Hamka:1/70)

 

[4] Apabila segala pujian itu diberikan kepada Allah, manusia perlu berfikir apabila sesuatu kepujian yang mahu diberikan kepada seseorang, perlu diingatkan bahawa segala perkara yang berlaku, di sebaliknya ada Allah.

 

[5] Perkataan الحمد—dimasuki Alif dan Lam, ia memberi maksud الاستغراق, iaitu mencakupi segala sesuatu. Itu sebabnya perkataan الحمد لله diterjemah sebagai segala puji bagi Allah. (Shihab:1/27)

 

[6] Bacaan الحمد لله adalah bacaan yang afdal ketika memulakan doa. Dalam hadis, Nabi saw ada bersabda;

 

جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «أَفْضَلُ الذِّكْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَفْضَلُ الدُّعَاءِ الحَمْدُ لِلَّهِ» - الترمذي, 3383

Zikir yang paling afdhal adalah LA ILAHA ILLA-LLAH. Doa yang paling afdhal adalah ALHAMDULILLAH

 

رَبِّ الْعَالَمِينَ (2)

 

[1] Asal makna رب adalah tuan. Dalam hadis, ada Nabi saw berkata:

 

(أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا)

“(tanda kiamat) bahawa hamba melahirkan tuannya”

 

Namun, perkataan رب diterjemah oleh Hamka sebagai PENGASUH. Perkataan ini merangkumi makna mencipta dan mengurus agar segala ciptaan itu bergerak dengan baik.  Kalau diumpamakan seperti manusia, ia diciptakan daripada air mani, kemudian menjadi kumpalan darah. Dan semua itu diasuh oleh Allah sehingga dia menjadi manusia, dan manusia itu menjalani kehidupannya seperti biasa. (Hamka:1/71)

 

Menurut Shihab pula, perkataan رب bermakna tarbiah, iaitu mengarahkan sesuatu tahap demi tahap menuju kesempurnaan kejadian dan fungsinya.

 

Jika difahami sebegini, sebarang perkara yang kita tidak suka berlaku pada diri kita tidak bermakna itu adalah keburukan bagi kita. Contohnya, seorang bapa yang memukul anaknya. Memukul bukan untuk memberi kehancuran, tetapi untuk mendidik dan mentarbiah agar mencapai kesempurnaan. (Shihab:1/30)

 

Menurut al-Qurtubi pula, perkataan رب itu mengandungi maksud:

 

وَالرَّبُّ: الْمُصْلِحُ وَالْمُدَبِّرُ وَالْجَابِرُ وَالْقَائِمُ

“mengelokkan, mentadbir, menampal kekurangan dan melaksanakan” (al-Qurtubi:1/137)

 

[2] Perkataan العالمين adalah kata jamak bagi perkara العالم. Ia berakar dari kata علم yang bermakna ILMU dan ALAMAT.

 

Setiap makhluk itu mempunyai perbezaan antara satu dan yang lain. Untuk mengetahui perbezaan itu, perlu kepada ILMU dan ALAMAT.

 

Setiap makhluk yang hidup dan bergerak itu mempunyai ALAM masing-masing; ada alam malaikat, alam manusia, alam roh dan sebagainya.

 

Justeru, penggunaan kata العالمين amat luas penggunaan dan pemaknaannya. Semua hal ini bermaksud, ia di bawah kawalan dan taklukan Allah. Semua itu di dalam tarbiyah Allah. (Shihab:1/32)

 

[3] Perkataan العالمين ada dua maksud;

 

A.                   Semua jenis makhluk, sama ada manusia, malaikat, jin dan syaitan.

 

B.                    Hanya dikhususkan kepada manusia sahaja. Ini melihat kepada firman Allah;

 

 قَالُوٓاْ أَوَلَمۡ نَنۡهَكَ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ (79) - الحجر

Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" (Hamka:1/71)

 

Ayat ini adalah kisah berkaitan dengan larangan kaum Nabi Luth daripada Nabi Luth menerima sebarang tetamu. Tetapi, Nabi Luth tetap menerima tetamu yang merupakan tiga orang malaikat yang berupa dengan rupa manusia.

 

Dan juga firman Allah:

 

لِيَكُونَ لِلْعالَمِينَ نَذِيراً (1) - الفرقان

Supaya dia menjadi pemberi pengajaran kepada alam

 

Kalau alam itu termasuk juga binatang, ia tidak selaras dengan ayat ini. Hal ini kerana, binatang tidak dapat pengajaran pun. (al-Qurtubi:1/ 138)

 

C.                    Kata AL-ZUJAJ, semua makluk yang diciptakan oleh Allah di dunia dan akhirat adalah alam. (al-Qurtubi:1/138)

 

[4] Tuhan mentadbir Alam, bukan dibatasi kepada baik dan buruk; tetapi menjadikan baik dan buruk sebagai pengimbang terhadap rahmat yang Allah curahkan kepada manusia yang mentadbir bumi.

 

[5] Perkataan الحمد لله رب العالمين mengandungi dua sisi makna;

 

A.                    Ucapan berterima kasih kepada Allah kerana segala ciptaan ini merupakan pemudahcara kepada manusia dalam menjalani kehidupan.

 

وَقَالَ اللَّهُ لِنُوحٍ عَلَيْهِ السَّلَامُ:" فَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَجَّانا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ" –  (28) - المؤمنون

Allah berkata kepada Nabi Nuh: Katakanlah (wahai Nuh), puji-pujian bagi Allah yang telah selamatkan kita dari kaum yang zalim”

 

وَقَالَ فِي قِصَّةِ دَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ:" وَقالا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنا عَلى كَثِيرٍ مِنْ عِبادِهِ الْمُؤْمِنِينَ" (15) - النمل

Qisah Nabi Daud dan Sulaiman: kedua-dua ini berkata: puji-pujian bagi Allah yang telah melebihkan kami terhadap ramai dari kalangan hambaNya yang beriman”

 

B.                     Ucapan memuji kepada Allah kerana kekaguman terhadap kehebatan Allah dalam mencipta dan mengurus alam. (Shihab:1/33)

 

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ (63) – العنكبوت

Jika kamu tanya mereka, siapakah yang turunkan air dari langit, lalu dengannya menghidupkan bumi selepas mati, pasti mereka menjawab: Allah. katakanlah, puji-pujian bagi Allah, bahkan ramai mereka tidak berakal

 

الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ (3)

 

[1] Menjadi kebiasaan dalam ayat al-Quran bahawa setelah menyebut berkenaan sesuatu perkara, maka dikaitkan dengan mana-mana nama Allah yang selaras dengan maksud ayat. Contohnya;

 

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (173) - البقرة

 

Demikian juga pada ayat ini, bahawa setelah Allah menyebut berkenaan kekuasaanNya yang mentadbir sekelian Alam, maka Dia pun berkata bahawa Dia bersifat AL-RAHMAN dan AL-RAHIM.

 

[2] Apabila kita mendengar orang yang berkuasa, perasaan kita terhadapnya adalah takut, bukan sayang.  Justeru, bagi memastikan perasaan sayang kita kepada Allah itu mekar di dalam hati, maka dalam pada Allah menyebut kekuasaan-nya yang mentadbir sekalian alam, kita perlu kekal merasai sayang kepadaNya.

 

Ini dalam tasawwuf disebut sebagai الخوف والرجاء, iaitu takut dan harap. Takut diberikan azab, harap diberikan syurga; takut dengan kemurkaanNya, harap akan rahmat dan kasih sayangNya.

 

[3] Apabila takut, sikap kita terhadap orang yang kita takuti itu berbeza dengan orang yang kita sayang.

 

Contohnya sikap kita terhadap polis. Di depan polis, kita tidak melangggar lampu merah. Tetapi, di belakang polis kereta langgar lampu merah.

 

Berbeza kalau kita sayang. Contoh kita sayang kepada ibu kita. Sama ada di depan atau di belakang pandangan ibu kita, kita tidak akan melakukan kejahatan terhadap ibu kita.

 

Maka demikianlah perasaan kita terhadap Allah. Jika kita takut, tahap keikhlasan kita kepada Allah adalah rendah. Apabila wujud perasaan sayang kepada Allah, tahap perasaan kita kepada Allah meningkat.

 

[4] Kupasan Buya Hamka pula, dalam pada Allah menampilkan kekuasaan-Nya yang mentadbir sekalian alam, di sebaliknya terkandung sayang Allah kepada manusia. Hal ini kerana, manusia tidak akan berada dalam selesa jika alam ini berbolak balik, jika alam ini sentiasa ditimpa huru-hara. Semua ini adalah kerana sayang Allah kepada hamba-Nya. (Hamka:1/72)

 

[5] Secara tersirat, ia ada kaitan dengan hadis;

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، «الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أَهْلَ الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ» - ابو داود, 4941

Daripada Abdullah bin Amru yang perkataan nabi saw sampai kepadanya: Orang yang saling berkasih sayang akan disayangi oleh Tuhan yang maha penyayang. Sayangilah penduduk dunia, mereka yang berada di langit akan sayangi kamu”

 

Iaitu, apabila Allah mencipta langit dan bumi, langit dan bumi itu perlu dipenuhi dengan rasa sayang dan kasih. Apabila langit dan bumi itu diciptakan oleh Allah kerana sayang Allah, manusia perlu menjalani kehidupan sesama manusia dengan kasih sayang.

 

[6] Perkataan الرحمن dan الرحيم berakar dari kata رحم. Menurut pakar bahasa, sebarang perkataan yang berakar kata رحم, ia ada kaitan dengan kelembutan, kasih sayang dan kehalusan. (Shihab:1/36)

 

PENGAJARAN

 

[1] Segala puji-pujian itu hanya layak bagi Allah. Oleh itu kalau kita sendiri di puji-puji orang, janganlah lupa bahawa yang empunya puji itu ialah Allah, bukan kita.(Hamka:1/71)

 

[2] Manusia perlu memikirkan kasih sayang Allah dengan mencipta dan mengatur alam ini. Dengan itu, manusia perlu berkasih sayang sesame makhluk di bumi. apabila ada kasih sayang sesame makluk, maka makhluk di langit mendoakan kasih sayang tersebar di atas muka bumi.

FATIHAH 1

 AL-FATIHAH 1

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (1)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

PENGENALAN

 

[1] Bismillah adalah satu ayat daripada semua surah kecuali surah البراءة. Ini adalah pendapat majoriti ulama, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Al-Zubair, Abu Hurairah dan Ali. Dari kalangan tabiin pula seperti 'Ata, Tawus, Said bin Jubair, makhul dan al-Zuhri. Dalam kalangan ulamak mazhab, seperti imam Syafi'i dan Ahmad bin hambal.

 

Mengikut pendapat Imam Malik dan Imam Abu Hanifah, Bismillah bukan salah satu ayat daripada semua surah termasuk Al-Fatihah. (Kathir:1/116)

 

[2] Setiap surah di mulai dengan bismillah, seakan-akan Allah mahu mengajar kepada umat Islam bahawa setiap permulaan pekerjaan hendaklah diasaskan atas nama Allah.

 

Nabi Muhammad disuruh menyampaikan wahyu, itu juga atas nama Allah. Sebarang ucapan yang keluar dari mulut baginda, bukanlah semata-mata atas kehendak diri baginda, tetapi atas perintah dari Allah. (Hamka:1/67)

 

[3] Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah اقرا باسم ربك الذي خلق, makanya dari sudut pengamalan, Allah membuktikan itu melalui Al-Quran sendiri, iaitu apabila mahu memulakan membaca Al-Quran, perlu membaca bismillah. Ia dimulai dengan membaca surah al-fatihah. (Shihab:1/11)

بِسْمِ اللَّهِ

 

[1] Menurut Buya Hamka, perkataan Allah dalam bahasa Melayu kuno dapat diertikan sebagai dewa dan Tuhan.

 

Buya Hamka menukilkan kupasan Raghib al-Asfahani, bahawa perkataan Allah adalah dari perkembangan dari kalimah الإله yang kalau hendak menyebut banyak Tuhan mereka pakai kata jamak الآلهة. (Hamka:1/67)

 

[2] Raghib Al-Asfahani juga menyatakan, sejak dahulu orang Arab itu di dalam hati sanubarinya mereka tidak mengakui tauhid uluhiyyah, sehingga mereka sekali-kali tidak memakai kalimah Allah untuk yang selain dari zat yang maha esa. Dan mereka tidak mahu menyebutkan Allah untuk beratus-ratus berhala yang mereka sembah. (Hamka:1/68)

 

[2] Kata Hamka, kepercayaan akan adanya zat yang maha kuasa adalah sama tumbuh dengan akal manusia. Namun ada sebahagian besar mereka menggambarkan tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti atau menakutkan, seram dan kejam yang orang terpaksa memujanya oleh kerana takut akan murkanya. (Hamka:1/69)

 

Dengan sebab itu, orang Hindu Bali, walaupun mereka menyembah berbagai berhala, namun mereka tetap percaya kepada SANG HYANG WIDHI yang bermaksud yang maha esa. Kepercayaan agama Hindu pun sampai kepada puncak tertinggi sekali, iaitu kepada SANG HYANG TUNGGAL. (Hamka:1/69)

 

Begitu juga penemuan batu bersurat Terengganu yang ditulis dengan huruf Arab, lebih kurang 1303 masihi, kalimah Allah telah diertikan dengan DEWATA MULIA RAYA. (Hamka:1/68)

 

[3] Perkataan اسم berasal dari akar kata yang sama, iaitu السمو yang bermakna tinggi; dan perkataan السمة yang bermakna tanda.

 

Kata SHIHAB, memang lama menjadi tanda bagi sesuatu usaha harus dijunjung tinggi. (Shihab:1/13)

 

[4] Menurut Al-Zamakhsyari dan ramai ulama tafsir, orang-orang Arab sebelum kehadiran Islam, mereka memulai pekerjaan mereka dengan menyebut nama Tuhan mereka, seperti        بسم اللات وبسم العز, sementara bangsa-bangsa lain memulai dengan menyebut nama raja atau penguasa mereka. (Shihab:1/13)

 

Islam pula mengajar, semua tuhan tuhan yang mereka sembah itu adalah palsu. Justeru perlu kepada Tuhan yang sebenar, iaitu Allah. Makanya Islam mengajar agar segala perbuatan yang baik, di mulai dengan membaca nama Allah.

 

Sebab itu kita berjumpa dalam hadis, antara perkara yang diajar oleh nabi adalah, apabila memulai tidur, kita membaca doa;

 

عَنْ حُذَيْفَةَ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَخَذَ مَضْجَعَهُ قَالَ: «اللهُمَّ بِاسْمِكَ اللهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوتُ» - السنن الكبري, النسائي, 10516

"Dengan nama engkau aku hidup, dengan nama engkau aku mati"

 

Semua ini terkandung di dalam maksud firman Allah;

 

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) - الأنعام

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

 

Begitu juga, ketika makan. Dalam hadis, nabi ada berkata;

 

عن عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ» - البخاري, 5376

“wahai budak, baca nama Allah, makan dengan tangan kanan kamu dan makan makanan yang paling hampir dengan kamu”

 

Ketika setubuh. Dalam hadis, nabi saw bersabda:

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، يَبْلُغُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ لَمْ يَضُرُّهُ» - البخاري, 141

“kalau seseorang kamu datangi isterinya, dia membaca: dengan nama Allah, Ya Allah, jauhikan kami dari syaitan dan jauhi syaitan akan apa yang telah kamu rezekikan kepada kami. Dia diberikan anak antara kedua-duanya mereka yang syaitan tidak dapat memudharatkannya”

 

الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (1)

 

[1] Memandangkan dalam masyarakat manusia, Tuhan difahami sebagai menakutkan, makanya Al-Quran memperkenalkan Allah dalam bentuk yang pemurah dan penyayang. (Hamka:1/70)

 

[2] Dalam banyak-banyak nama Allah, hanya dua nama ini yang disebut dan diminta agar diulang setiap masa. Kedua-dua nama ini, mempunyai daripada akar kata yang sama, iaitu رحم. Menurut Shihab, kemungkinan kedua sifat ini dipilih kerana sifat itulah yang paling dominan. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam ayat;

 

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ (156) - الأعراف

"rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu" (Shihab:1/21)

 

[3] Dalam bahasa melayu, apabila disebut rahim, yang terbayang dalam fikiran adalah peranakan. Apabila disebut Rahim, maka yang dapat terlintas dalam benak adalah ibu dan anak dan ketika itu dapat terbayang betapa besar kasih sayang yang dicurahkan sang ibu kepada anak.

 

Sudah pasti tidak boleh dibandingkan antara kasih sayang ibu kepada anak berbanding kasih sayang tuhan kepada hamba. Dalam hadis—Umar bin al-Khattab berkata:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَدِمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ، فَإِذَا امْرَأَةٌ مِنَ السَّبْيِ قَدْ تَحْلُبُ ثَدْيَهَا تَسْقِي، إِذَا وَجَدَتْ صَبِيًّا فِي السَّبْيِ أَخَذَتْهُ، فَأَلْصَقَتْهُ بِبَطْنِهَا وَأَرْضَعَتْهُ، فَقَالَ لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَتُرَوْنَ هَذِهِ طَارِحَةً وَلَدَهَا فِي النَّارِ» قُلْنَا: لاَ، وَهِيَ تَقْدِرُ عَلَى أَنْ لاَ تَطْرَحَهُ، فَقَالَ: «لَلَّهُ أَرْحَمُ بِعِبَادِهِ مِنْ هَذِهِ بِوَلَدِهَا» - البخاري, 5999

"Rasulullah saw pernah memperoleh beberapa orang tawanan perang. Ternyata dari tawanan tersebut ada seorang perempuan yang menyusui anak kecil, apabila dia mendapatkan anak kecil dalam tawanan tersebut, maka ia akan mengambilnya dan menyusuinya, lalu Nabi saw bersabda kepada kami: 'Menurut kamu, apakah perempuan itu bersedia melemparkan bayinya ke dalam api?' Kami menjawab; 'Sesungguhnya ia tidak akan bersedia melemparkan anaknya ke dalam api selama ia masih sanggup menghindarkannya dari api tersebut' Lalu baginda bersabda: 'Sungguh, kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya melebihi kasih sayang perempuan itu terhadap anaknya”

 

[4] Perbezaan antara الرحمن dan الرحيم;

 

Satu:

Abdullah bin al-Mubarak berkata, makna الرحمن yang itu penyayangnya Allah yang apabila diminta, pasti Dia akan memberi. Adapun الرحيم bawa apa bila hamba tidak meminta, maka Dia murka.

 

Pendapat ini berasaskan kepada satu sabda Nabi:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهُ مَنْ لَمْ يَسْأَلِ اللَّهَ يَغْضَبْ عَلَيْهِ» - الترمذي, 3373

Barangsiapa yang tidak meminta kepada Allah, alah bakal murka kepadaNya. (Kathir:1/125)

 

Dua:

Pendapat العرزمي, sifat Rahman Allah adalah diberikan kepada semua makhluk. Hal ini berasaskan kepada beberapa firman Allah;

 

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى (5) – طه

 

ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ الرَّحْمَنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا (59) - الفرقان

 

Adapun sifat rahim Allah, dikhususkan kepada orang yang beriman sahaja. Firman Allah;

 

وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا (43) - الأحزاب

 

PENGAJARAN

 

[1] Abduh menilai bahawa penggabungan tiga kata yang menunjuk Allah yang maha esa itu dalam ucapan basmalah, merupakan bantahan tidak langsung kepada orang-orang nasrani yang menganut fahaman triniti. Hal ini kerana, orang nasrani memulai doa-doa mereka dengan menyebut Tuhan bapak, Tuhan anak dan roh kudus.

 

Makanya Islam datang, membantah mereka bahawa Allah yang maha esa, walaupun nama-namaNya banyak tetapi hanya nama dan sifat yang banyak bukan zat yang dinamai dan disifati itu.(Shihab:1/23)

 

Menurut TAHIR IBNU ASYUR pula, basmalah dengan ketiga kata yang menunjukkan kepada Allah telah dikenal jauh sebelum turunnya Al-Quran. Hal ini merujuk kepada firman Allah berikut;

 

Pertama; berkenaan nama Allah al-Rahman, Nabi Ibrahim pernah menggunakannya;

 

يَا أَبَتِ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَمَسَّكَ عَذَابٌ مِنَ الرَّحْمَنِ فَتَكُونَ لِلشَّيْطَانِ وَلِيًّا (45) - مريم

" Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".

 

Kedua: penggunaan kata al-Rahim pula, digunakan oleh Nabi Ibrahim;

 

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (128) - البقرة

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

FATIHAH 7

  SURAH AL-FATIHAH, AYAT 7   صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7) Iaitu jalan...