Tuesday, October 4, 2022

SURAH AL-BAQARAH, AYAT 181 – 182

 SURAH AL-BAQARAH, AYAT 181 – 182

 

SURAH AL-BAQARAH, AYAT 181

 

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (181)

Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 181

AYAT 180

 

Orang yang mengubah kandungan wasiat, dianggap sebagai berdosa di sisi Allah.

 

 

Menjelaskan berkenaan hukum wasiat sebelum kematian.

 

 

[1] Dalam ayat lepas, Allah menjelaskan berkenaan hukum orang yang hampir dengan kematian bahawa dia perlu memberi wasiat.

 

[2] Dalam ayat ini pula, Allah menjelaskan bahawa orang yang menerima wasiat, dia tidak boleh khianat terhadap Amanah wasiatnya—iaitu dia ubah kandungan wasiat. Tindakan itu adalah dosa yang amat besar di sisi Allah.

 

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ

 

[3] Pada perkataan فمن بدله;

Dari asal makna تبديل dari sudut bahasa Arab, ia bermakna الإبطال atau النقص, iaitu membatalkan atau mengurangkan. (Tahir:2/152)

 

Dari sudut konteks ayat, ia mengubah kandungan wasiat dan laksanakan waksiat bukan kandungan yang ditetapkan oleh pemberi wasiat.

 

[4] Menurut Sya'rawi, janjian azab kepada orang yang mengubah kandungan wasiat dilihat penting di era penurunan wahyu kerana pada ketika itu konsep penulisan dan catatan belum popular lagi. Ekoran itu, kemungkinan untuk berlaku penipuan itu amat mudah. Justeru pesanan wahyu seperti dalam ayat ini amat penting (sya'rawi:2/759)

 

[5] Siapa yang mengubah;

Menurut Al-Razi, mengubah ini boleh berlaku dari pelbagai pihak, seperti penerima wasiat atau saksi dan sebagainya.

 

Cara ubah tersebut, sama ada ubah tulisan, ubah dokumen, ubah kandungan wasiat, atau menyembunyikan kandungan Wasiat dan sebagainya; semua itu mengandungi maksud menafikan hak orang yang berhak. (Razi:5/68)

 

[6] Pada perkataan بعد ما سمعه;

Bagi orang yang mendengar wasiat, dia perlu ada sifat amanah. Jika begitu yang dia dengar dari orang yang memberi wasiat, maka begitulah yang perlu ditunaikan kandungan Wasiat.

 

Menurut Al-Qurtubi, termasuk juga maksud orang yang سمعه adalah orang yang diberi wasiat dari pihak ketiga. Contohnya, si mati memberitahu kepada si A agar dia memberitahu kepada si B berkenaan wasiatnya. Maka wajib si B tunaikan wasiat tersebut, jika si A adalah orang kepercayaan. (Qurtubi:3/115 | usaimin:3/310)

 

[7] Walaupun ayat ini menggunakan perkataan سمع yang memberi makna mendengar, ia termasuk juga di bawah maksud catatan. Iaitu, wasiat itu diberi dalam bentuk catatan atau tulisan atau dokumen, ia termasuk juga maksud ayat. Hal ini berasaskan kepada kaedah fiqh:

 

الكتابة كالخطابة

“catatan itu sama seperti bercakap”

 

فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ

 

[8] Hak untuk mengubah kandungan wasiat adalah orang yang memberi wasiat itu sendiri. Justeru apabila pemberi wasiat telah meninggal dunia, tidak ada ruang lagi untuk diubah kandungan wasiat yang telah diwasiatkan. Dengan itu, pihak penerima wasiat tidak ada hak untuk mengubah.

 

[9] Abu Zuhrah menyatakan bahawa, dianggap orang yang mengubah wasiat itu sebagai berdosa kerana ia mempunyai sifat khianat terhadap amanah yang telah diberikan kepadanya. (Zuhrah:546)

 

Jika dilihat dari sudut itu, ia selaras dengan hadis—daripada Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: آيَةُ النِّفَاقِ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ  - النسائي, 5021

“tanda nifaq ada tiga; apabila bercakap, dia berbohong; apabila dia berjanji, dia menyalahinya; apabila dia diberikan Amanah, dia khianat”.

 

[10] Dianggap sebagai berdosa juga kerana tindakan mengubah kandungan wasiat boleh melahirkan permusuhan sesama manusia. iaitu, kalau dapat tahu dari pihak yang menerima wasiat, sudah pasti mereka akan marah. Dari situ, permusuhan akan tercetus.

 

[11] Kata al-Razi, ayat ini adalah dalil bahawa seseorang yang sebelum mati telah memberi wasiat agar hutangnya dibayar, lalu orang yang menerima wasiat itu bersetuju untuk membayar hutang tersebut. Apabila dia sudah mati, dia tidak akan diazab dengan sebab penerima wasiat itu tidak membayar hutangnya. Tanggungjawab hutang itu sudah terbeban atas kepala si penerima wasiat (Razi:5/69 | Qurtubi:3/115)

 

إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (181)

 

[12] Ini disebut جملة تعليلية yang mengandungi maksud تحذيرية, iaitu seperti kita berkata: "awas kamu, sesungguhnya Allah itu maha mendengar lagi maha mengetahui" (Usaimin:2/310)

 

[13] Ia sebagai satu peringatan dari Allah kepada mereka yang berniat jahat dalam menerima sesuatu wasiat. Iaitu, mungkin orang lain tidak tahu kandungan wasiat, tetapi Allah itu maha mendengar terhadap apa yang telah diberikan wasiat kepadanya.

 

[14] Allah yang maha سميع adalah bahawa Allah mendengar kandungan wasiat yang diberikan oleh orang yang memberi wasiat.

 

Allah yang maha عليم adalah Allah mengetahui jika penerima wasiat itu menukar kandungan wasiat.

 

PENGAJARAN

 

[15] Dalam konteks ayat, mengubah wasiat yang telah ditetapkan, maka ia dianggap sebagai berdosa. Jika mengubah ketetapan manusia pun sudah dianggap berdosa, sudah pasti lebih berdosa jika mengubah ketetapan Allah, seperti berbuat hadis palsu, menukar kandungan hukum Allah dan sebagainya.

 

[16] Ayat ini menjadi dalil bahawa sesuatu hadis tidak boleh diselewengkan. Jika dia mendengar hadis begitu, maka hendaklah disampaikan begitu juga. Jika dia melakukan perubahan kepada hadis, dia telah melakukan dosa yang amat besar di sisi Allah.

 

[17] Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita tidak boleh melakukan kejahatan kerana di sebalik kejahatan yang kita lakukan itu, walaupun kadangkala tidak dilihat atau tidak diketahui oleh manusia, tetapi di sana ada yang maha melihat, maha mendengar dan maha mengetahui.

 

SURAH AL-BAQARAH, AYAT 182

 

 فَمَنْ خَافَ مِنْ مُوصٍ جَنَفًا أَوْ إِثْمًا فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (182)

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

HUBUNGAN AYAT

AYAT 181

AYAT 182

 

Azab kepada mereka yang selewengkan kandungan wasiat.

 

 

Dalam konteks tertentu, demi mengelak dari kezaliman dan maksiat, ubah kandungan wasiat adalah dibenarkan.

 

 

[18] Jika ayat lepas menyatakan bahawa, jika pihak penerima wasiat mengubah kandungan wasiat, ia boleh melahirkan permusuhan.

 

Maka dalam ayat ini pula, dijelaskan bahawa permusuhan juga boleh berlaku dari pihak orang yang memberi wasiat. Justeru dibenarkan kepada orang yang menerima wasiat, berusaha untuk hindari permusuhan tersebut jangan mengubah kandungan wasiat. (Manar:2/142)

 

فَمَنْ خَافَ مِنْ مُوصٍ جَنَفًا أَوْ إِثْمًا

 

[19] Penggunaan perkataan خاف yang diterjemah sebagai takut atau bimbang, ia merujuk kepada sesuatu yang bakal berlaku. Iaitu ketika itu, ia belum berlaku lagi. Tetapi kemungkinan besar perkara buruk akan berlaku. (Zuhrah:457)

 

Contohnya seperti firman Allah;

 

وَأَخَافُ أَنْ يَأْكُلَهُ الذِّئْبُ (13) – يوسف

Aku bimbang bahawa dia (Nabi Yusuf) dimakan oleh serigala

 

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً (3) – النساء

Nikahilah apa yang baik untuk kamu dari kalangan perempuan itu dua, tiga dan empat. Jika kamu bimbang bahawa kamu tidak berlaku adil, maka memadai seorang sahaja.

 

[20] perkataan جنفا:

Dari sudut bahasa arab, perkataan itu memberi maksud CENDERUNG.  Menurut Abu Zuhrah, dalam konteks ayat, perkataan itu memberi maksud cenderung kepada kezaliman. Iaitu dia memberi wasiat yang kandungannya salah—kandungannya ada kecenderungan kepada kezaliman. Contohnya seperti dia memberi wasiat kepada anak lelaki dengan diabaikan anak perempuan.

 

[21] Satu lagi adalah perkataan اثما yang bermaksud dosa dan maksiat. Contohnya dia beri wasiat dalam hal yang melibatkan kepada maksiat, seperti mendermakan harta wasiatnya ke tempat judi. Ataupun, si mati memberi wasiat lebih daripada satu pertiga.

 

[22] Dalam keadaan begitu, orang yang menerima wasiat boleh mengubah kandungan wasiat agar berpijak pada prinsip keadilan serta terhindar dari perkara yang diharamkan dalam agama.

 

[23] Menurut Imam Abu Zuhrah lagi, tanggungjawab ini dilakukan oleh Wali al-Hisbah. (Zuhrah:548)

 

[24] Hendaklah pertukaran tersebut mesti tidak memberi mudharat kepada mana-mana pihak. Firman Allah; (Zuhrah:549)

 

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَى بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ (12) - النساء

sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris)

 

[25] Keputusan hukum sebegini ditetapkan oleh Al-Quran, bahkan para ulama sepakat bahawa wasiat dalam hal yang melibatkan kepada maksiat adalah batil. Begitu juga wasiat yang kelihatan seperti adil tetapi di sebaliknya mengandungi jalan-jalan menuju kepada maksiat, maka Ia juga dianggap sebagai batil. (Zuhrah:549)

 

[26] Menurut Ibnu kathir, perkataan جنفا ditafsirkan oleh Ibnu Abbas Abu 'Aliyah, mujahid, Al-Dhahhaq, al-Rabie bin Anas dan al-Suddiy sebagai الخطاء, iaitu salah.

 

Menurut Imam Ibnu Katsir lagi, kesalahan yang dilakukan ini berbentuk pada semua jenis kesalahan, sama ada yang disengajakan ataupun yang tidak disengajakan. Dalam hadis Nabi ada bersabda:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْخَيْرِ سَبْعِينَ سَنَةً، فَإِذَا أَوْصَى حَافَ فِي وَصِيَّتِهِ، فَيُخْتَمُ لَهُ بِشَرِّ عَمَلِهِ فَيَدْخُلُ النَّارَ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الشَّرِّ سَبْعِينَ سَنَةً، فَيَعْدِلُ فِي وَصِيَّتِهِ، فَيُخْتَمُ لَهُ بِخَيْرِ عَمَلِهِ فَيَدْخُلُ الْجَنَّةَ» قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: «وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ» {تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ} [النساء: 13]- إِلَى قَوْلِهِ - {عَذَابٌ مُهِينٌ} [البقرة: 90] – ابن ماجة, 2704 –قال الألباني: ضعيف

"Seorang lelaki beramal dengan amalan ahli kebaikan selama tujuh puluh tahun, kemudian apabila dia berwasiat dan dia bertindak zalim di dalam wasiatnya, maka dia diakhiri dengan perbuatannya yang buruk sehingga dia masuk neraka. Seorang lelaki lagi beramal dengan amalan ahli kejahatan selama tujuh puluh tahun, kemudian dia bersikap adil di dalam wasiatnya, maka dia diakhiri dengan perbuatan yang baik sehingga dia masuk syurga"

 

Selepas meriwayatkan hadis ini, Abu hurairah terus berkata: baca olehmu jika kamu mahu: تلك حدود الله فلا تعتدوها--itulah batasan-batasan Allah jangan kamu melampauinya (Kathir:1/495-496)

 

[27] Menurut Ibnu Asyur, termasuk juga di bawah maksud جنفا او اثما adalah wasiat yang diberikan itu boleh mendatangkan mudarat sesama kaum kerabat. Seperti dia memberi Wasiat kepada kaum kerabatnya yang kaya dan tidak memberikan sebarang bahagian wasiat kepada kaum kerabatnya yang miskin. (Asyur:2/154)

 

[28] Dalam kupasan USAIMIN pula, perkataan جنفا bermaksud kecenderungan kepada sesuatu tanpa disengajakan. Sedangkan Perkataan اثما, adalah kecenderungan dengan disengajakan; yang kedua-duanya merujuk kepada dosa dan maksiat. (Usaimin:3/313)

 

فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ

 

[29] Perkataan فأصلح بينهم

Ia bermaksud melakukan perbuatan yang boleh memberi kebaikan kepada orang lain.

 

Dari sudut konteks ayat, ada dua kupasan berikut;

 

(1)                     Selalunya penggunaan kata اصلح merujuk kepada membaikkan di antara pihak yang bertelagah. Apatah lagi, ada perkataan بينهم selepas perkataan tersebut.

 

Secara tidak langsung dapat difahami bahawa keputusan yang berat sebelah dan berdosa yang dilakukan oleh pemberi wasiat itu, kandungannya mengandungi unsur boleh membawa kepada permusuhan dan perbalahan sesama kaum kerabat si mati. Dengan itu, penerima wasiat mengubah agar permusuhan itu dapat dielak.

 

(2)                     Tindakan islah yang dilakukannya itu adalah menolak atau hindari pemberi wasiat dari terjebak kepada dosa.

 

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

 

[30] Perkataan فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ;

Iaitu akhirat nanti dia tidak akan dikenakan sebarang hukuman.

 

[31] Tindakan orang yang menerima wasiat bahawa dia mengubah kandungan wasiat dalam kategori sebegini, bukan sekadar dia tidak berdosa bahkan tindakan itu boleh menyebabkan dia mendapat pahala. (Zuhrah:548)

 

[32] Ia tidak dianggap sebagai berdosa kerana dia telah berusaha untuk melaksanakan keadilan dan juga Islah. (Asyur:2/154)

 

[33] Menurut Buya Hamka, ia bukan sekadar tidak berdosa bahkan tindakannya itu di bawah maksud Amar Makruf Nahi mungkar. (Hamka:1/415)

 

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (182)

 

[34] Tidak dinafikan bahawa orang yang menerima wasiat tidak boleh mengubah kandungan wasiat. Namun, Allah membuat satu ketetapan bahawa jika kandungan wasiat itu tidak adil atau boleh membawa kepada maksiat, Allah membenarkan mengubah kandungan wasiat walaupun pada peringkat hukum asalnya adalah haram.

 

Bagi orang yang menerima wasiat, dia tidak perlu teragak-agak untuk mengubah kandungan wasiat tersebut agar terhindar daripada kezaliman serta maksiat. Kerana arahan itu datang dari Allah, serta perlu diingat bahawa Allah itu maha pengampun.

 

PENGAJARAN

 

[35] Di sini di dapati ada perbezaan di antara dua jenis hukum:

(a)                  hukum asal

(b)                  hukum yang berubah kerana perbezaan faktor dan sebab-sebab tertentu.

 

Contohnya, hukum memakai furdah, dari sudut hukum (a) adalah harus. Namun, dari sudut hukum (b) boleh jadi wajib, jika dia tidak pakai itu mendatangkan fitnah.

 

Demikian juga hukum mengubah kandungan wasiat. Dari sudut hukum (a) adalah berdosa besar. Namun, darin sudut hukum (b) seperti kandungan wasiat itu zalim dan maksiat, maka dibenarkan ubah.

 

[36] Ayat ini menjadi dalil bahawa prinsip keadilan adalah amat penting dalam agama. Dalam al-Quran Allah ada berkata:

 

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى (8) – المائدة

Berlaku adillah. Ia (keadilan itu) adalah lebih hampir bagi ketaqwaan.

No comments:

Post a Comment

FATIHAH 7

  SURAH AL-FATIHAH, AYAT 7   صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7) Iaitu jalan...